Khairul Aming Jawap Teguran Doktor Isu Minyak Masak Lehib “Cuma kalau ubah resipi, jadi tak sedap”

 

Pempengaruh media sosial, Khairul Aming tampil menjelaskan mengenai isu penggunaan minyak masak berlebihan dalam masakannya selepas ditegur oleh Pakar Perubatan, Dr. Rafidah Abdullah baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian video di laman Twitter, Aming mengambil maklum tentang perkara tersebut apatah lagi dia masih dalam misinya bagi menurunkan berat badan.

“Pertama dari perspektif sebagai rakyat Malaysia yang obes, saya berjaya menurunkan 13 kilogram. Dua tahun lepas, saya ada buat perjalanan ‘Aming Nak Sihat’ untuk diet.. memang menjadi tapi berat naik semula.

“Kenapa? Saya ikut semua tips dikongsi tapi sengsara, tertekan.. tak boleh nikmati makanan ada di sekeliling. Kemudian, makan segala makanan tanpa mengawal portion, berat pun naik semula.

“Akhirnya untuk perjalanan diet kali ni, saya tukar cara. Makanan kita sedap, rugi kalau tak makan cuma kita kena kawal portion,” katanya.

Dari perspektif kedua pula, selebriti masakan berusia 31 tahun itu mengakui masakan akan menjadi tidak sedap sekiranya menggantikan bahan-bahan lebih sihat.

“Kita boleh kurangkan minyak, tukar resipi atau bahan tapi akan jadi tak sedap macam original. Sebagai contoh, Kalau kita nak sambal yang sedap kita kena masak dengan minyak yang banyak supaya ia pecah minyak.

“Kalau nak ayam goreng yang juicy dan crispy, kena deep fry dan goreng dengan minyak yang banyak.

“Kalau nak mac and cheese yang creamy kena lebihkan keju. Memang itu caranya. Kalau kita nak ubah, boleh, tapi dia tak jadi macam original. Itu sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, dia hanya menunjukkan sisi realiti bagaimana cara penyediaan bagi sesuatu resipi selain boleh dijadikan kesedaran kepada orang ramai apabila memilih makanan.

“Sebab saya tunjuk kena pakai berapa sudu gula dan sebagaimana, itulah realiti cara sebenar makanan disediakan di luar sana. Bila saya tunjuk video, sekurang-kurangnya anda semua sedar soal kuantiti bahan digunakan.

“Jadi boleh buat pilihan sendiri masa makan. Kalau saya ubah resipi tu dan anda cuba, tak sedap.. saya kena maki balik. Saya tak boleh puaskan hati semua orang. Tak semua tengah diet, ada nak makan sedap je. Tapi paling penting, kawal portion,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, dia menerima maklum balas dan teguran orang ramai dengan hati terbuka walaupun ada resipi yang dihasilkan dikatakan boleh membahayakan kesihatan.

Terdahulu, Dr. Rafidah menegur pempengaruh berkenaan agar menyediakan resipi lebih sihat dan mengurangkan penggunaan minyak atau makanan berasaskan goreng.

sumber: Twitter Khairul Aming & Dr. Rafidah Abdullah

Comments are closed.