Wanita Derita Sakit Misteri Lepas Bantu Kongkang Cedera Datang Rumah

 

Menurut wanita yang dikenali sebagai Ainiey itu, kongkang terbabit datang semula ke rumahnya dalam keadaan cedera selama tiga hari berturut-turut meskipun telah dilepaskan jauh.
Sihir merupakan ilmu berkaitan perbuatan halus melalui pertolongan makhluk ghaib sama ada syaitan atau jin dengan niat untuk memudaratkan, menyakitkan atau mengelirukan manusia.
Pelbagai cara yang digunakan untuk menghantar sihir tersebut kepada seseorang yang diinginkan seperti menerusi angin dan air mahupun melalui binatang atau serangan.
Lebih menyayat hati, manusia dengan sifat yang keji seperti ini sanggup mencederakan binatang agar sihirnya sampai kepada orang yang ingin dituju.
Wanita jatuh sakit lepas bantu kongkang cedera datang rumah

Seperti baru-baru ini, tular di media sosial seorang wanita mendakwa telah disihir sehingga jatuh sakit selepas membantu seekor binatang dalam keadaan cedera parah di kepala yang datang ke rumahnya.
Menerusi hantaran carousel yang dimuat naik di laman TikTok akaun @ainieyaffilliate.shop, kisah ini bermula apabila seekor kongkang dalam keadaan berdarah di kepala datang ke rumahnya pada waktu maghrib.
Oleh kerana perasaan simpati, wanita yang dikenali sebagai Ainiey itu telah membantu dengan memberi ubat kepada kongkang tersebut sebelum melepaskannya semula jauh daripada rumahnya.
“Saya dengan kesiannya keluar dari rumah pergi dekat kera ni sebab berdarah di kepala dia. Tuang minyak angin semua dan adik aku tangkap letak dalam sangkar untuk lepas dia jauh,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Kena demam panas selepas lepaskan kongkang jauh dari rumah

Bagaimanapun selepas melepaskan kongkang itu jauh dari rumahnya, Ainiey secara tiba-tiba mengalami demam panas.
Apa yang mengejutkan lagi, pada malam yang sama juga kongkang itu datang kembali ke rumahnya dalam keadaan cedera yang sama.
Kongkang datang semula ke rumah selama 3 hari dalam keadaan cedera

Difahamkan, binatang terbabit datang semula ke rumahnya dalam keadaan cedera selama tiga hari berturut-turut.
“Tiga kali kera itu datang rumah walaupun dah buang jauh dan malam itu juga dengar orang baling pasir atas bumbung rumah, dengar orang nangis depan pintu bilik, lepas itu tiba-tiba lipan bara bawah bantal saya tidur, ular dan biawak masuk rumah. Semua binatang bisa,” tulisnya lagi.
Sakit yang tak boleh digambarkan sehingga terpaksa dibawa ke hospital
Lebih parah lagi apabila Ainiey diuji dengan kesakitan yang tidak boleh digambarkan sehingga dia terpaksa dibawa ke hospital pada pukul 3 pagi.
Namun, doktor yang merawat Ainiey juga tidak dapat mengesahkan tentang punca kesakitan yang dialaminya kerana pemeriksaan yang dilakukan mendapatinya semuanya dalam keadaan baik.
Ainiey juga menjalani perubatan kampung setelah pelbagai ikhtiar yang dilakukannya namun tidak berjaya sembuh daripada kesakitan yang dialami sehingga dia hampir memutus asa.
Namun dengan izin Allah, derita yang dialami oleh Ainiey hampir 3 bulan itu akhirnya hilang dan dia kembali sembuh seperti sediakala.
“Orang yang tak pernah rasa dia akan cakap benda ni merapu. Hanya orang yang pernah rasa sahaja tahu sakit tu macam mana bila kena buatan orang.
“Cukuplah pengalaman selama beberapa bulan ini dalam hidup saya yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Semoga Allah pelihara kita semua dan jauhkan benda-benda yang tak elok,” katanya.

Comments are closed.